Aku merupakan seorang pelajar jurusan agama. Apabila disebut tentang sekolah agama, ramai yang memberikan persepsi negatif terhadap bidang yang aku pelajari. Ramai yang menganggap sekolah agama hanyalah menggalakkan pelajar menghafaz al-Qur’an sahaja, sedangkan tujuan al-Qur’an diturunkan bukanlah sekadar menghafaz hurufnya semata-mata, jika menghafaz tanpa memahami isi yang terkandung di dalamnya, ianya hanyalah sia-sia.
Kadangkala aku merasa hairan dengan mentaliti masyarakat sekarang, mereka sering menganggap apa yang aku pelajari tidak dapat menjamin masa depan yang sempurna, ianya hanya dapat melahirkan ustaz/ustazah sekolah rendah sahaja yang bagi mereka tiada sumber pendapatan utama yang dapat menampung keluarga, tiada masa depan yang cerah, hidup di dalam kos yang rendah, tiada deretan kereta mewah, rumah yang megah sedang hidup pula dalam keadaan gundah gelisah. Inilah mentaliti pemikiran yang sangat rendah. Sedangkan aku belajar Qur’an, aku belajar Sunnah, aku sebarkan kalamulLah, aku kaji ayatulLah, aku sampaikan ajaran RasululLah, aku tadabbur kitabulLah, aku pertahankan haqqulLah, tapi aku digesa pula mencari keredhaan ‘Abdullah’. Kezaliman apakah yang aku lalui hari ini...?
Kezaliman ini sangat membimbangkan diriku. Kita sangat mudah menentukan apakah yang bakal dilalui oleh si fulan dan si fulan, seolah-olah kita lebih arif dari tuhan. Walhal, kita juga hanya bergantung pada sijil dan kelayakan yang dimiliki, bagi kita hanya itu sahajalah jalan yang boleh diambil bagi menuju kejayaan. Kezaliman ini boleh membawa kita syirik kepada Allah, dan syirik itu adalah kezaliman yang sungguh dahsyat. (31:13)
Di zaman yang serba canggih ini, aku perhatikan umat manusia seolah-olah selesa dengan apa yang mereka kecapi, tanpa sedar ianya memakan diri. Al-Qur’an ini tidak pernah diambil peduli, malah ditolak ketepi (25:30). Alasan ‘buzy’ sering diberi, akhirnya jadilah mereka golongan yang rugi (2:121),
Walaupun aku mempertahankan prinsip yang aku pegang selama ni, kadangkala terdetik juga di fikiranku, benarkah masa depanku terjamin dengan hanya menyebarkan kalamulLah? Adakah masyarakat dapat menerima seruanku? aku merenung nasib para penyebar agama hari ini, mereka juga diletakkan di taraf yang paling bawah. Dari segi kehidupan dunia, sudah pasti mereka kalah. Walaupun kehidupan, rezeki, jodoh dan ketentuan ditentukan Tuhan, tapi berapa ramai diantara kita yang percaya, yakin dan redha? Kita juga tahu hidayah itu perlu dicari, tapi berapa ramai daripada kita yang tunggu ianya datang sendiri?
Lantas aku memerhatikan semula ayat-ayat Allah. Aku semak segala apa yang telah diperintah, aku kaji semula kisah-kisah umat dahulu, tidak ada banyak bezanya dengan sikap umat sekarang. Mereka juga sering membantah. Mereka juga mengingkari perintah Allah. Mereka juga merendah-rendahkan agama Allah. Sedangkan tiada satu ciptaan mereka yang setanding Allah. Tiada satu pun perkongsian mereka dalam ciptaan langit mahupun bumi, bahkan jika Allah cabar mereka bagi mencipta seekor lalat pun, mereka tidak akan mampu mencipta yang seumpamanya (22:73). Inilah kehebatan kekuasaan Allah. Beza umat dulu dan kini ialah Allah turunkan bala dan bencana pada masa itu juga, tetapi Allah berikan penangguhan buat umat masa kini. Allah berikan peluang bagi menambah amal ibadat. Allah berikan peluang untuk bertaubat. Kerana keberadaan kita di dunia ini adalah sangat singkat berbanding akhirat. Jadi aku tak sepatutnya mengikuti jejak langkah umat yang terdahulu. Aku harus tabah melangkah, pejuangkan agama Allah. Biar hidup terasa susah, aku tetap tidak akan membiarkan kezaliman ini menguasai diriku. NauzubilLahi Min Zalik..
(resepi) Pasta goreng versi tekak melayu :D
-
Aku ni tak ada ah terror sangat masak macam master chef tu. Tapi aku suka
masak sebab aku suka makan. Pastu aku suka kecah-kecah kan dapur
Ni pasta goreng....
6 days ago










































